14 July 2013

Para Blogger Lancar 'Perang', Kecam

Keratan Utusan Malaysia semalam.
 
KUALA LUMPUR 13 Julai - Beberapa pengendali laman blog mula melancarkan 'perang' terhadap pasangan Tan Jye Yee, 25, dan Vivian Lee, 24, yang terus mencipta kontroversi mempersenda kedatangan Ramadan dengan memuat naik gambar sedang menikmati hidangan bak kut teh yang tertera logo halal.
Blog MyKMU.net (http://www.mykmu.net) yang memaparkan tajuk 'Hina, cemar sensitiviti umat Islam dianggap kelakar?' oleh dukeofmontecristo menegaskan pasangan yang popular dengan panggilan Alvin dan Vivian itu boleh dianggap layak dilucutkan kewarganegaraan kerana mencetuskan kemarahan umat Islam.
"Terus terang saya katakan, sekiranya undang-undang membolehkan saya memijak kepala Alvin dan Vivian, tentu sudah pecah kepala saya kerjakan. Pada saya, mereka boleh bertelanjang dan mengadakan pertunjukan seks di depan pintu masuk Universal Studio atau di patung kepala Singa di Singapura.
"Tapi kalau sampai mempersenda kesucian bulan Ramadan, mencemar hukum-hakam di dalam Islam dan tidak menghormati sensitiviti umat Islam yang sedang berpuasa, pada saya perbuatan itu sudah cukup melampau dan tidak wajar dimaafkan lagi,'' tegas blog berkenaan.
Dalam laman Facebook rasmi milik kedua-dua pasangan itu, mereka dilihat mempersenda kedatangan Ramadan apabila memuat naik gambar sedang menikmati hidangan dengan kapsyen 'Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh (sup tulang babi)...wangi, enak dan menyelerakan'.
Tidak cukup dengan itu, mereka turut meletakkan logo halal pada gambar berkenaan.
Menurut blog itu, kerajaan dengan apa jua akta, perkara atau petikan Perlembagaan yang ada perlu melucutkan kewarganegaraan kedua-dua bekas pelajar National University Singapore berkenaan serta-merta.
"Tiada kompromi dalam soal ini. Tiada amaran yang patut diberikan pada mereka lagi dalam keadaan ini. Selain itu, Alvin dan Vivian dalam apa jua keadaan sekalipun, wajar disekat dari cuba kembali atau masuk ke Malaysia melalui apa cara sekalipun," tegasnya.
Sementara itu, blogger Gerakan Anti PKR (http://gerakan-anti-pkr.blogspot.com) yang turut mengulas isu sama melahirkan rasa sedih dengan pemimpin-pemimpin Islam yang masih tidak mengambil tindakan terhadap pasangan berkenaan.
"Sakit hati melihatkan kelakuan pimpinan Islam, lebih memikirkan nasib politik daripada nasib Islam itu sendiri. Gambar terbabit adalah kesinambungan daripada Namewee yang pernah mempersendakan azan Subuh.
"Di situlah bermula segala penghinaan kerana mereka tahu pimpinan Melayu semuanya tak berani (ambil tindakan),'' katanya.
Turut melancarkan 'perang' terhadap pasangan itu adalah blog MIK (http://medan-info-kita.blogspot.com) yang mengecam tindakan biadab pasangan berkenaan.
Begitu juga blog Cucu Tok Selampit (khairulryezal.blogspot.com) yang melabel tindakan pasangan itu sebagai kurang ajar.
"Malah saya tidak akan terkejut sekiranya di dalam komen-komen akan ada yang menulis, tidak mengapa, mereka adalah bukan Islam, mereka tidak tahu adab budaya dan hukum hakam orang-orang Islam," tambahnya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: