SEORANG yang bergelar guru, kesabaran akan sentiasa teruji apabila
berhadapan dengan murid, ibu bapa dan rakan sekerja yang pelbagai
perangai. Sebab itu, minat untuk menjadi seorang guru itu amat
diperlukan dalam bidang kerjaya ini.
Dalam masa sama, seorang guru juga mesti mempunyai perasaan kasih
sayang kepada murid dan perlu jatuh cinta dengan pekerjaan guru itu
sendiri.
Itulah jawapan yang keluar daripada mulut seorang guru di sebuah
sekolah menengah apabila ditanya pengumuman Menteri Pendidikan Kedua,
Datuk Seri Idris Jusoh bahawa syarat untuk memohon pengajian dalam
jurusan perguruan telah diperketatkan.
Berkuat kuasa tahun ini, hanya pelajar yang memperoleh
sekurang-kurangnya 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang
dibenarkan memohon pengajian dalam jurusan itu.
Langkah berkenaan dibuat sejajar dengan hasrat kementerian yang mahukan 30 peratus lulusan SPM terbaik menyertai kerjaya itu.
Namun kelonggaran diberikan kepada pelajar Sabah dan Sarawak yang
hanya disyaratkan memperoleh sekurang-kurangnya 5A dalam SPM
memandangkan terdapat jurang pencapaian akademik antara negeri itu
dengan negeri-negeri di Semenanjung.
Isu mengenai pentingnya minat untuk menjadi seorang guru yang terbaik
juga pernah menjadi tema filem Hollywood bertajuk The School of Rock
pada 2003.
Dalam filem itu, anggota kumpulan rock, Dewey Finn (yang dibintangi
pelawak Jack Black) telah menyamar sebagai guru gantian di sebuah
sekolah menengah atas.
Walaupun tidak mempunyai kelayakan akademik untuk mengajar, dia
akhirnya telah berjaya mengubah pelajar-pelajarnya menjadi penyanyi dan
pemuzik yang berjaya.
Soal pentingnya minat juga turut disentuh beberapa kesatuan guru yang
telah menyatakan bantahan sebaik saya syarat baharu itu diumumkan.
Ini termasuk Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) yang menyifatkan syarat tersebut sebagai tidak realistik.
Bagi Presiden KGMMB, Mohamed Sabri Mohd. Arsad, pelajar yang
cemerlang di dalam bidang akademik bukan satu jaminan untuk melahirkan
guru terbaik.
Apa yang lebih penting mereka hendaklah mempunyai minat, kemahuan,
aktif serta sifat kasih sayang yang begitu tebal terhadap anak-anak
murid.
Saya percaya pelajar-pelajar yang memperoleh 5A atau 6A dalam SPM
juga mampu menjadi seorang guru yang baik lebih-lebih lagi sekiranya
mereka benar-benar berminat untuk menjadi seorang guru," ujarnya.
Menurut beliau, selain kelayakan akademik, penglibatan dalam aktiviti
kokurikulum perlu diberi penekanan kepada mereka yang ingin menceburi
profesion perguruan bagi meningkatkan taraf profesion itu yang semakin
mencabar.
Dalam pada itu, beliau melahirkan kebimbangan usaha untuk menarik
lebih ramai pelajar yang memperoleh 7A dalam SPM untuk menceburi bidang
perguruan tidak berjaya kerana pelajar terbabit mempunyai peluang untuk
memilih jurusan lain yang menawarkan gaji lebih lumayan.
Kebiasaannya mereka akan memilih bidang-bidang lebih profesional
seperti doktor atau jurutera apabila melanjutkan pelajaran ke institut
pengajian tinggi.
Ini realiti yang berlaku. Hakikatnya, profesion perguruan tidak
dapat menjanjikan pulangan lumayan kepada mereka berbanding
bidang-bidang profesional yang lain," katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kementerian menawarkan gaji yang
lebih tinggi dan kemudahan lain seperti perumahan kepada guru yang
berkelulusan cemerlang.
Kalau nak ambil guru yang berkelulusan baik, kebajikan mereka juga
perlu dijaga, sekolah ini sampai kawasan pedalaman pun ada. Mungkin
elaun tambahan yang lain perlu diadakan," katanya.
Bersetuju dengan pendapat itu ialah Timbalan Presiden Gabungan
Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Ezaruddin Abdul Rahman yang
menegaskan pihaknya menentang keras langkah terbaharu kementerian itu.
Beliau berkata, kelulusan akademik bukanlah kriteria utama yang melayakkan seseorang itu menjadi guru yang berdedikasi.
Sebagai bekas pelajar kita tahu bahawa guru yang terbaik bukan
sahaja cemerlang dari segi kelulusan akademiknya sebaliknya ia juga
melibatkan soal minat, dedikasi untuk mengajar dan perasaan sayang yang
ditunjukkan kepada anak didiknya," ujar beliau.
Bagi mengelak mereka yang berminat untuk menjadi guru tersekat kerana
syarat yang terlalu ketat dikenakan, beliau meminta syarat minimum itu
dibatalkan dan digantikan dengan kelayakan akademik yang munasabah.
Kita mengakui kelayakan akademik juga penting tetapi ia tidak boleh
lebih penting daripada kelayakan lain yang boleh menjadi seseorang itu
diiktiraf sebagai guru berkualiti," katanya.
Tambah beliau, satu kaedah yang boleh dilakukan kementerian adalah
mengadakan sesi temu duga sebelum pelajar diterima mengikuti pengajian
dalam bidang perguruan.
Sesi temu duga ini akan membolehkan kita mengetahui adakah mereka
benar-benar berminat untuk menjadi seorang guru atau kerana ia pilihan
akhir setelah tidak berjaya mengikuti pengajian dalam bidang lain,"
katanya.
Menurut Ezaruddin, beliau akan mendapatkan persetujuan daripada
lain-lain Exco GPMS untuk menghantar satu bantahan rasmi kepada
Kementerian Pendidikan berhubung syarat baharu itu.
Kepada pihak kementerian, dengarlah secara serius pandangan badan-badan yang mewakili guru dan pelajar terbabit.
Ini bagi memastikan pelajar yang mempunyai minat dan dalam masa sama
memperoleh keputusan yang munasabah dalam SPM dapat meneruskan hasrat
mereka untuk menjadi seorang pendidik.
No comments:
Post a Comment