29 March 2013

Bravooo Warga Media


OPS DAULAT : Mereka Juga Perwira Negara!!
Jasa Mereka amat di hargai
                                           

Pelbagai peristiwa dan rintangan dilalui wartawan Bernama dalam usaha mendapatkan laporan terbaik, antaranya menempuh saat cemas terserempak dengan anggota militan ketika mencari bahan berita dan 'diusir' pihak berkuasa keselamatan yang mahu memastikan operasi mereka tidak terganggu oleh wartawan yang cuba mengintip keadaan.

Kecekalan petugas media berada di lokasi berbahaya Operasi Daulat menyerlahkan manifestasi cintakan negara golongan itu, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata selain memenuhi tuntutan kewartawanan, laporan yang disampaikan petugas di lapangan membantu seluruh masyarakat mendapat gambaran jelas apa yang berlaku.

Katanya kementerian mendapati setiap laporan yang dibuat sangat tepat dan memenuhi garis panduan yang ditetapkan pihak keselamatan.

"Kita berhadapan dengan dunia media yang makin dipersoal masyarakat dan dengan liputan semasa operasi ini, saya yakin bahawa liputan yang dibuat dapat memastikan pemberitaan tempatan mampu bersaing dengan media antarabangsa dalam melaporkan sesuatu bencana," katanya pada majlis makan tengah hari meraikan petugas media yang membuat liputan Operasi Daulat di sebuah hotel di sini Khamis yang dihadiri 35 wakil media.

Rais berkata sebagai menghargai pengorbanan wartawan yang berjaya menjalankan khidmat nasional yang diamanahkan, kementerian itu akan menganjurkan majlis khusus bagi memberi pengiktirafan kepada semua petugas media yang terlibat dalam operasi itu.

"Ini boleh dianggap sebagai ingatan dan pengiktirafan serta terima kasih kementerian kepada warga media yang telah bertungkus lumus sepanjang membuat liputan di Lahad Datu," katanya sambil memberitahu bahawa antara yang akan diberi ialah sijil penghargaan.

Bernama menghantar 11 petugas membabitkan sembilan wartawan dan seorang jurugambar serta jurukamera untuk membuat liputan sepanjang Operasi Daulat.

Yong berkata atas saranan Rais, BernamaTV akan menghasilkan segera sebuah dokumentari pendek mengenai insiden pencerobohan Sabah itu untuk tatapan dan rujukan pada masa depan. - BERNAMA 

Kredit :VAT69-Perjuangan Semalam

No comments: