KG TANDOU DI TUTUP.
Lahad
Datu, 27 Mac - Pasukan keselamatan memutuskan bahawa Kampung Tanduo
yang menjadi lokasi pendaratan kumpulan penceroboh militan Sulu akan
ditutup dan tidak lagi menjadi kawasan petempatan penduduk.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata semua penduduk kampung
itu yang kini menghuni pusat pemindahan sementara akan dipindahkan ke
satu lokasi baharu yang akan diputuskan kemudian.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas pihak keselamatan mendapati
kawasan yang menjadi kubu pengganas sejak pencerobohan 12 Feb lepas itu
terjejas teruk susulan gerakan ofensif yang dilancarkan 5 Mac lepas.
"Setakat ini, itu yang kita putuskan, kita akan bincang perkara ini
lagi tetapi perbincangan di peringkat pasukan keselamatan mendapati
lebih sesuai penduduk kampung itu yang jumlahnya tidak begitu ramai
ditempatkan di satu tempat yang akan dikenal pasti kemudian," katanya
pada sidang akhbar di Markas Operasi Felda Sahabat 16, dekat sini hari
ini.
Beliau berkata penempatan semula penghuni 12 rumah di
kampung itu akan dibuat di kawasan berdekatan Kampung Tanduo dan
lokasinya akan dikenal pasti dengan kerjasama pengurusan Felda Sahabat.
Hamza turut memaklumkan kawasan Kampung Tanjung Batu kini bebas
daripada ancaman pengganas dan pihaknya akan bermesyuarat bersama Majlis
Keselamatan Negara, Pejabat Daerah Lahad Datu dan ketua masyarakat
kampung berkenaan bagi membincangkan proses membenarkan penduduk untuk
kembali ke rumah masing-masing.
Proses penggeledahan dan
pembersihan kini diteruskan ke Tanjung Labian dan Tanagian sebelum
memasuki kawasan Sungai Bilis dan beliau yakin proses itu mampu
diselesaikan segera sebelum memutuskan untuk membenarkan penduduk
kembali ke rumah atau sebaliknya, katanya.
Terdahulu, Hamza
berkata pasukan keselamatan merampas sepucuk pistol, enam butir peluru
dan sebilah parang yang ditinggalkan militan selepas berlaku pertempuran
di kawasan Sungai Bilis, Gugusan Labian pagi ini.
Beliau
berkata kejadian pada 7.30 pagi itu berlaku ketika pasukan keselamatan
sedang menjalankan operasi pembersihan di kawasan itu sebelum
terserempak dengan tiga pengganas yang bertindak melepaskan tembakan ke
arah anggota keselamatan.
Pengganas kemudian melarikan diri apabila diserang balas dan tiada kecederaan dilaporkan di kedua-dua pihak, katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment