Masalah gejala sosial yang tidak pernah menunjukkan tanda-tanda
pengurangan kini berubah kepada keadaan yang amat membimbangkan
khususnya kes pembuangan bayi. Trend pembuangan bayi di
Malaysia seperti menjadi sumpahan apabila tabiat kejam dan tidak
berperikemanusiaan ini semakin popular di kalangan remaja.
Malah bagi tempoh empat bulan pertama tahun 2010, sejumlah 24 kes pembuangan bayi dilaporkan. Ini menyamai trend membunuh
tiga nyawa tidak berdosa bagi setiap dua minggu atau dengan kata lain,
wujud 3 pembunuh atau pembuang senyap dalam setiap minggu.
Persoalannya, apakah punca utama masalah ini dan adakah tidak ada jalan
penyelesaian bagi mengatasinya? adakah peruntukan undang-undang
berkaitan masih tidak mencukupi dan penguatkuasaannya masih longgar
sehingga menyebabkan ‘pembuang senyap’ ini amat berani beraksi tanpa
mengambil kira keadaan sekeliling? Atau adakah institusi kekeluargaan
kini telah sampai kepada tahap kritikal sehingga keadaan anak perempuan
mereka yang hamil ini langsung tidak disedari oleh ibu bapa dan penjaga?
Selain usaha menerapkan nilai-nilai agama dalam masyarakat khususnya di
dalam institusi keluarga, tindakan penguatkuasaan terhadap jenayah buang
bayi juga amat perlu ditingkatkan memandangkan gejala ini dilihat
semakin menjadi-jadi. Bagi tindakan penguatkuasaan syariah pula, ia
lebih kepada pencegahan kerana peruntukan kesalahan buang bayi atau
menyembunyikan kelahiran tidak diperuntukkan di bawah Undang-Undang
Kesalahan Jenayah Syariah. Namun tindakan pencegahan inilah menjadi
suatu perkara yang amat penting kerana ia melibatkan penguatkuasaan
terhadap kesalahan khalwat, perbuatan tidak sopan di tempat awam, hamil
luar nikah, persetubuhan luar nikah dan lain-lain kesalahan berkaitan.
Namun masyarakat sering kali mempersoal tindakan penguatkuasaan syariah
yang dilakukan oleh pegawai penguatkuasa agama (PPA) ini. Segala macam
tohmahan dilempar kepada PPA yang kononnya hanya ingin“menjaga tepi kain orang”.
Apabila kes berjaya disabitkan dan hukuman dijatuhkan, timbul pula
tohmahan bahawa hukuman yang dijatuhkan adalah bersifat menghina, kolot,
menghalang kebebasan individu dan menjatuhkan maruah wanita khasnya
bagi hukuman sebat syariah.
Falsafah hukuman jenayah dalam Islam dan matlamat hukuman dalam Enakmen
Jenayah Syariah ialah untuk pencegahan, pembalasan terhadap perbuatan
salah, ganti rugi dan pemulihan. Aspek pencegahan adalah untuk mencegah
manusia daripada melakukan kejahatan. Pencegahan akan berhasil apabila
timbul rasa takut di kalangan masyarakat terhadap hukuman yang
dikenakan. Pencegahan seperti ini terdapat pada semua hukuman yang
ditetapkan oleh Undang-Undang Islam. Ini kerana keseluruhan hukuman ini
mengandungi unsur-unsur yang membuatkan masyarakat takut untuk
menghadapinya.[1]
Manakala aspek pembalasan pula dinyatakan dengan tegas oleh Allah s.w.t di dalam Surah al-Maidah ayat 38:
"السارق والسارقة فاقطعوا أيديهما جزاء بما كسبا نكالا من الله"
Maksudnya: Pencuri lelaki dan pencuri perempuan, maka potonglah tangan
kedua-duanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka telah lakukan.[2]
Hukuman yang berbentuk ganti rugi pula adalah hukuman yang yang dikenali sebagai hukuman diyat. Secara
jelasnya ia terdapat dalam kes-kes pencerobohan yang dilakukan terhadap
kepentingan orang lain. Ada juga hukuman yang diperuntukkan bertujuan
sebagai pemulihan bagi pesalah-pesalah jenayah syariah. Pelaksanaan
hukuman terhadap pesalah diharap dapat mengembalikan pesalah berkenaan
ke jalan kebenaran dan menjauhkannya dari kemaksiatan. Firman Allah
s.w.t dalam Surah az-Zukhruf ayat 48:
"وأخذناهم بالعذاب لعلهم يرجعون"
Maksudnya: Dan kami timpakan ke atas mereka azab supaya mereka kembali ke jalan yang benar.[3]
Dalam Akta/Enakmen/Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah negeri-negeri telah
terdapat peruntukan yang bertujuan untuk membanteras kegiatan jenayah
ini pada peringkat awal lagi. Contohnya peruntukan bagi kesalahan
khalwat. Jika diteliti secara mendalam, khalwat merupakan faktor utama
yang membawa kepada perzinaan[4]yang
akhirnya membawa kepada gejala hamil luar nikah dan buang bayi. Maka di
sinilah peranan penguatkuasaan syariah yang harus ‘menjaga tepi kain
orang’ bagi membendung gejala sosial daripada terus berleluasa. Ini
Kerana tindakan ‘menjaga tepi kain orang’ ini tidak menjadi suatu
kesalahan dalam usaha membasmi gejala sosial, bahkan sikap seperti ini
adalah sangat dituntut oleh Islam. Ibu bapa atau penjaga juga perlu
memainkan peranan mereka dalam mendidik anak-anak dengan didikan agama
bermula dari peringkat awal lagi kerana fitrah manusia khususnya remaja
yang cepat terpengaruh oleh anasir luar yang merosakkan.
Credit to: Mahfudzah binti Mohamad (Bahagian Penyelarasan Undang-Undang, Jakim)
No comments:
Post a Comment