Perang kontrak pesawat tempur
KUALA LUMPUR 29 Mac - Dalam keghairahan orang ramai melihat
pertunjukan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2013,
tanpa disedari berlaku peperangan sengit di belakang tadbir
melibatkan syarikat pengeluar pesawat tempur.
Peperangan yang dimaksudkan adalah pertarungan sengit untuk memenangi
kontrak penggantian pesawat pejuang MiG29 yang digunakan oleh Tentera
Udara Diraja Malaysia (TUDM) ketika ini.
Antara pesawat yang kini sedang menunjukkan keupayaannya unik mereka
di LIMA 2013, sekali gus cuba memikat hati TUDM adalah Sukhoi SU-35
(Russia), Dassault Aviation Rafale (Perancis), Eurofighter Typhoon
(Britain), FA-18F Super Hornet (AS) dan JAS Gripen (Sweden).
Daripada lima buah pesawat tempur pelbagai guna (MRCA) berkenaan,
Dassault Aviation Rafale, Eurofighter Typhoon dan FA-18F Hornet dilihat
begitu menonjol dalam usaha melobi kontrak berkenaan.
Typhoon merupakan pesawat terbaik dengan mempunyai kelajuan 2 Mach,
merangkumi kemampuan sistem teknikal dan persenjataannya yang canggih
tetapi harganya yang boleh mencecah RM3 bilion sebuah telah membuatkan
kerajaan mungkin perlu menimbangkan pilihan lain.
Manakala Rafale yang merupakan pesaing terdekat Typhoon menawarkan
kelebihan dari segi harga yang lebih murah. Baru-baru ini, kerajaan
India sedang menimbang untuk pembelian 126 pesawat itu dengan nilai
AS$10 bilion atau bersamaan RM30 bilion.
Sementara itu, pilihan ketiga iaitu FA-18F pula mempunyai syarat yang
terlalu ketat, terutamanya dari segi teknologi dan kod sumber (source
code) yang tidak mudah untuk dipindahkan kepada pembeli pesawat.
Sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan untuk melupuskan 16 pesawat
MIG 29N yang dibeli dari Rusia pada 1995 pada kos AS$381 juta dengan
menjualnya kepada negara yang berminat.
Keputusan berkenaan dibuat berikutan kos penyelenggaraan yang tinggi
dan jika dilupuskan kerajaan akan jimat sebanyak RM260 juta setahun.
Kontrak berkenaan bukan hanya tertakluk kepada urusan jual beli
semata-mata, tetapi kerajaan juga ingin melihat kepada tawaran timbal
balik yang boleh diberikan oleh syarikat pengeluar berkenaan seperti
pemindahan teknologi.
Ini bermakna tawaran mereka bukan hanya fokus kepada teknologi dan
harga yang kompetitif tetapi pulangannya kepada keseluruhan industri
pertahanan negara.
Pemilihan pesawat baharu menggantikan MIG 29N perlu memberi keutamaan
kepada pesawat strategik yang berupaya melakukan penerbangan jarak jauh
dan pesawat medium seperti MRCA.
No comments:
Post a Comment