26 March 2013

Semai Sikap Rendah Diri Dan Hormat Guru


Sikap, tingkah laku dan perangai segelintir pelajar di sekolah hari ini sangat menyedihkan serta cukup membimbangkan. Mereka bukan saja terbabit gejala ponteng, pergaulan bebas tiru budaya Barat, penagihan dadah, pergaduhan, membuli bahkan ada yang berani mencederakan guru. 

Seakan lenyap sudah rasa kasih sayang, hormat dan kecenderungan ingin memuliakan guru di jiwa mereka. 
Akhlak buruk ini tidak sedikit pun mencerminkan keperibadian murni seorang pelajar Islam. Islam sememangnya sangat menitikberatkan soal adab pelajar terhadap gurunya. 
Setiap kita yang menerima ilmu pengetahuan dari guru, menjadi satu kewajipan menghormati dan memuliakannya. Walaupun apa yang diajar itu hanya satu perkara kecil, patut mengiktirafkan dirinya sebagai guru. 
Saidina Ali berkata: “Barang siapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan (guru) kepada ku.” 

Tugas guru murni 
Seorang pelajar haruslah menyedari kedudukan guru mulia di sisi Allah SWT kerana tugas guru sangat murni, membawa manusia daripada kejahilan menuju kebijaksanaan dan berilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang. 

Dengan adanya ilmu, menjadikan kehidupan sempurna bahkan negara berada di puncak kemajuan lantaran masyarakatnya berilmu pengetahuan. Ada sesetengah ulama mengatakan, guru umpama pelita zaman. Tiap seorang daripada mereka adalah pelita yang menyinari ahli zamannya. 
Lantaran itulah, memuliakan dan mengagungkan guru termasuk perkara yang dianjurkan Islam seperti sabda Rasulullah SAW: “Bukanlah termasuk golongan kami orang yang tidak menghormati orang tua, tidak menyayangi yang muda dan tidak mengerti hak ulama kami.” (Riwayat Ahmad) 

Sepadan dengan hadis itu, Imam Nawawi pernah menyarankan seorang pelajar memperhatikan gurunya dengan pandangan penghormatan. 

Contohi Imam Syafie 

Kita patut mencontohi Imam Syafie menghormati guru. Suatu waktu, Imam Syafie yang sedang mengajar lantas bangun lalu memeluk seorang Badwi yang selekeh dan nampak susuk tubuhnya tak terurus dengan sempurna yang baru tiba. 

Perbuatan Imam Syafie tadi sudah tentu menghairankan pelajarnya. Imam Syafie memberi hormat dengan cara memeluk si Badwi tadi kerana telah mengajarnya perihal anjing. Badwi itu pernah menerangkan kepada Imam Syafie, anjing yang cukup umur mengangkat sebelah kaki belakang manakala anjing yang tidak cukup umur tidak mengangkat kakinya ketika kencing. 

Dengan penerangan itu, dapatlah Imam Syafie menyudahkan mengarang kitab fiqh setelah menghadapi satu kesulitan untuk membezakan antara anjing cukup umur dengan anjing yang belum cukup umurnya. 

Malangnya ada sebilangan pelajar yang melenting marah dan meluat apabila guru menegur atau memberi nasihat. Tindakan demikian bukan saja tidak dapat membina diri menjadi insan berguna, tapi lebih menyerlahkan sikap biadap yang didorong hawa nafsu dan dimurkai Allah SWT. 

Teguran tanda sayang 

Sepatutnya pelajar banyak bersabar, mendengar dengan rendah hati serta mematuhinya dan berterima kasih kerana guru telah memperbaiki kelemahan yang ada pada dirinya. Anggaplah marah dan teguran tanda sayang seorang guru terhadap muridnya. 

Enggan menerima nasihat menunjukkan sifat keras hati dan tinggi diri. Bukankah ilmu baru dapat dimiliki jika selalu merendah diri seperti diungkapkan Imam Ghazali: “Ilmu itu hanya akan diperoleh dengan merendahkan diri dan memerhatikannya.” 

Sikap sesetengah ibu bapa hari ini yang tidak suka anaknya dijentik, didenda dan dirotan guru di sekolah atas salah laku tertentu boleh membantutkan proses pendidikan anak-anak. Tindakan sebegini bukanlah tanda sayang kepada anak tetapi hanya menggalakkan mereka melanggar disiplin. 

Kita selaku ibu bapa harus elakkan bersikap sombong, sebaliknya mempercayai kepakaran guru mendidik anak ke arah kebaikan. Dengan demikian, nescaya terbinalah anak tadi sebagai seorang insan yang berguna dan berjaya di dunia serta akhirat.
Credit: Mohd Adid Ab Rahman

No comments: