Mengaku Islam, tidak tahu mengucap
|
SEMPORNA – Rata-rata pengganas Sulu yang ditahan oleh pasukan
keselamatan sepanjang 25 hari Ops Daulat didapati tidak tahu mengucap
dua kalimah syahadah walaupun mereka mengakui beragama Islam.
Menurut sumber, perkara tersebut terbongkar apabila anggota
keselamatan melakukan soal siasat terhadap pengganas-pengganas terbabit
yang ditahan di daerah ini dan Lahad Datu sepanjang operasi itu.
“Soal siasat yang dijalankan mendapati rata-rata pengganas tersebut mengaku diri mereka beragama Islam.
“Bagaimanapun, apa yang mengejutkan, ada dalam kalangan mereka yang tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah.
“Tindakan itu membayangkan seolah-olah mereka yang terlibat ini
tidak mempunyai asas dalam ilmu agama Islam,” katanya kepada Kosmo! di
sini semalam.
Selain itu, anggota kumpulan pengganas tersebut yang ditahan dan
terbunuh juga didapati memakai tangkal pada anggota badan mereka yang
dipercayai boleh menjadikan mereka kebal ketika berdepan dengan pihak
keselamatan.
Sebahagian besar pengganas Sulu yang maut dan diberkas pihak
berkuasa didapati memakai pelbagai tangkal yang tertulis ayat khurafat
di leher, lengan, tangan dan pinggang masing-masing yang dikatakan boleh
menjadikan mereka kebal.
Mengulas lanjut, sumber itu memberitahu, berdasarkan soal siasat,
anggota pengganas yang ditahan itu mendakwa mereka sanggup berperang
dengan pasukan keselamatan Malaysia kerana ia dianggap jihad kepada
ketua kumpulan pengganas Sulu, Jamalul Kiram III.
Sumber itu menjelaskan, seorang tahanan pengganas yang berusia 25
tahun bertindak membunuh diri di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau
pada 15 Mac lalu didakwa bertindak demikian atas alasan sama iaitu
jihad.
“Kita telah menahan bapa si mati di balai yang sama dan dia tidak
sedih dengan tindakan anaknya itu malah berbangga dan kematian anaknya
itu selain membuatkan dia lebih kuat,” katanya.
Difahamkan, bapa si mati merupakan seorang berpangkat panglima dalam
kumpulan pengganas tersebut dan ditugaskan melakukan keganasan di
daerah ini bersama anaknya.
Punca kematian suspek yang ditahan di bawah Seksyen 130(c) Kanun
Keseksaan yang dibacakan bersama dengan Akta Kesalahan Keselamatan
(Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak didedahkan.
Untuk rekod, setakat semalam, seramai 68 anggota pengganas Sulu
terbunuh dalam Ops Daulat yang dilancarkan awal bulan ini manakala
jumlah yang ditahan di bawah SOSMA ialah seramai 103 orang.
No comments:
Post a Comment