AMALAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
KE ARAH PENINGKATAN PRESTASI
(Suatu pengalaman untuk dikongsi)
Oleh : Ustaz Hj.Samsudin bin Md Noor
Guru Cemerlang Pendidikan Islam Gred Khas ( JUSA ) C
SMK Model Khas Baling, Kedah
Pendahuluan
Peranan guru bukan sekadar memindah ilmu kepada murid-muridnya tetapi dalam konteks yang lebih luas iaitu sebagai muallim, murabbi, muaddib, mursyid, pendidik, pembimbing, pengajar, pengurus, pengarah, penyelia, pengelola, penyelidik, pengkaji, pakar rujuk, agen perubahan, agen sosialisasi, dan pembina masa depan negara dan sebagainya, bertujuan membina murid menjadi modal insan yang berguna kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara serta agama.
Perancangan Awal
Perancangan strategik lima tahun dan tahun semasa perlu diadakan supaya apa yang dicadangkan untuk dilaksanakan sebagai panduan pelaksanaan sepanjang tahun dan strategi masa hadapan.
Perancangan strategik perlu dimasukkan 'target' atau pelunjuran yang hendak dicapai, biasanya 'target' itu adalah lebih baik daripada tahun sebelumnya. Perkara yang lebih penting untuk diutamakan dalam perancangan itu ialah aktiviti-aktiviti yang hendak dilaksanakan bagi mencapai target. Aktiviti-aktiviti tersebut merangkumi program-program pengajaran dan pembelajaran berkesan, kelas tambahan, kelas pemulihan, kelas pengukuhan dan pengayaan, projek-projek akademik dan kegiatan ko-korikulum.
Perancangan awal yang perlu dilakukan iaitu penyediaan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran selain daripada buku teks seperti nota-nota tambahan, bahan-bahan 'power points', CD, VD, dan bahan bantuan mengajar bagi mempermudahkan murid memahami sesuatu tajuk. Guru sepatutnya membuat pengukuran masa bagi sesuatu topik yang hendak diajar, ada topik yang diselesaikan dalam satu masa dan ada yang perlu lebih dari satu masa.
Perancangan kemudahan pembelajaran murid, seperti keadaan kelas yang lebih kondusif, kemudahan peralatan kegunaan pelajar. Jika tiada masalah kertas-kertas, pelbagai jenis pen yang dakwatnya berbagai warna , yang boleh memberi keseronokan kepada murid untuk belajar disediakan oleh guru, kemungkinan peruntukan kewangan sekolah boleh digunakan untuk tujuan ini atas budibicara pentadbir sekolah. Keadaannya menjadi lebih baik jika guru berusaha adakan sebuah Bilik Khas Pendidikan Islam (jika ada bilik yang kosong),
Perancangan pengajaran dan pembelajaran sepanjang tahun seharusnya mengikut agihan yang telah ditentukan dan guru boleh mengambil daya anisiatif supaya sukatan pelajaran dapat diselesaikan lebih awal. Guru boleh menggunakan masa-masa baki untuk tujuan pengayaan, pengukuhan, pemurnian, pemulihan, peningkatan kemahiran menjawab dan sebagainya sebelum tiba masa peperiksaan yang sebenar.
Siapa Guru Di Hati Murid?
Usaha menarik minat murid mendampingi guru adalah satu langkah yang cukup berkesan untuk menarik mereka menyukai mata pelajaran yang diajar. Guru yang memiliki penampilan diri yang baik akan memberi bonus kepadanya kerana secara tidak langsung ia menjadi idola kepada murid terutama murid di kelas yang beliau ajar.
Pandangan pertama iaitu pakaian yang sentiasa kemas pada setiap hari persekolahan, kesungguhan dalam pekerjaan, dedikasi dalam menyampaikan ilmu, bersikap adil kepada semua murid, sentiasa bertimbangrasa dan penyayang, mesra dan sentiasa nampak periang, sentiasa tenang dan berhati-hati dalam tindakan supaya tidak tersalah langkah, beretika dan boleh diteladani, berwatak tegas tetapi amat berhemah dalam tindakan, sentiasa memelihara disiplin diri, bersifat cekal dan sabar, berprinsip tetapi bersifat terbuka untuk menerima berbagai pandangan, berilmu dan mahir dalam bidang kerjayanya, sentiasa mengharga masa, 'komited' dengan tugas, memiliki idea-idea yang bernas, kreatif dan inovatif, berwibawa, sedia berkorban masa dan wang ringgit serta berketrampilan adalah antara ciri-ciri personaliti yang boleh menawan hati murid-murid.Kekemasan tempat atau bilik guru sebagai tempat untuk guru melaksanakan kerja-kerja rutin juga menjadi perhatian murid. Mereka begitu gemar datang berurusan dan berjumpa untuk menyelesaikan berbagai masalah atau meminta guru menilai tahap pencapaiannya jika tempat itu kelihatan kemas dan tersusun yang mencerminkan perwatakan guru yang sebenar.
Buku rekod sebagai buku penting yang perlu disediakan dengan kemas dan rapi serta lengkap menjadikan guru berkenaan mendapat keyakinan yang dihati pentadbir dan murid-muridnya. Begitu juga dengan kekemasan kerja-kerja yang lain yang boleh dinilai baik oleh murid, rakan sejawatan dan pentadbir sebagai guru yang memiliki komitmen yang tinggi. Guru boleh membuat berbagai program di luar bilik darjah yang bertujuan merapatkan diri dengan mereka. Antaranya, membuat jamuan makan sekali atau dua kali setahun, membawa mereka ke tempat rekriasi melalui program Pendidikan Islam, lawatan ke tempat-tempat tertentu, berkunjung ke rumah salah seorang murid, terutama yang sakit, program menelaah bersama di waktu petang dan sebagainya.Aktiviti membaca yasin, solat hajat sebulan sekali dan lebih kerap di masa hampir dengan tarikh peperiksaan menyebabkan mereka terasa seolah-olah guru itu mengambil berat dan prihatin ke atas mereka.
Kebijaksanaan berkomunikasi dengan murid-murid, memahami perasaan mereka melalui pendekatan kesedaran emosi seperti mengambil berat tentang permasalahan mereka, bersimpati dan empati, cuba penyelesaian kekusutan yang berlaku ke atas mereka, dan sebagainya akan mendekatkan lagi mereka dengan guru. Melalui cara ini murid mudah mematuhi segala yang dihajati guru.
Gerakerja guru yang menampakkan kecemerlangan dalam melaksanakan tugas juga dapat mempengaruhi minat murid terhadap guru. Guru sewajarnya memiliki keperibadian yang tinggi, berpengetahuan luas tentang tajuk yang hendak diajar, serta berkemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran, kemerlangan dalam mengurus bilik darjah, dan menampakkan personaliti sebagai guru yang berwibawa. Oleh itu kemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran yang memberangsangkan, bijak mengurus masa secara optimum, berupaya meningkatkan prestasi murid, dan bijak mengawal disiplin akan meningkatkan keyakinan murid terhadap kemampuan guru.
Guru Dan Bilik Darjah
Pada peringkat awal, murid-murid akan membuat berbagai tanggapan atau persepsi terhadap guru yang akan masuk ke kelas mereka. Mungkin murid-murid sudah tahu tentang latarbelakang guru itu secara tidak langsung sebelum ini, kerana mereka sudah dua atau tiga tahun belajar di sekolah ini cuma belum pernah belajar dengannya. Sebaliknya terdapat juga murid langsung tidak tahu tentang guru itu, kerana dia mungkin murid yang baru di sekolah itu atau murid ini hanya tahu guru yang mengajarnya sahaja.
Berkenalan dengan murid yang akan diajari adalah suatu yang tidak boleh diabaikan kerana pernilaian murid ke atas diri guru pada hari pertama akan diterjemahkan terus ke dalam minda mereka tentang perwatakan guru itu. Murid bertanggapan guru itu garang jika guru itu bermula dengan watak tegas. Murid juga mungkin bertanggapan guru ini boleh dipermainkan kerana perwatakan yang tersangat lembut atau tidak serius.
Semasa inilah guru perlu memainkan peranan yang cukup bijak bagi menawan hati mereka seperti memuji mereka dengan kata-kata yang menggambar guru itu amat sayang kepada mereka. Ketika itu juga guru berusaha dengan kata-kata bersemangat dan menampakkan kesungguhan untuk menjadikan mereka murid yang berjaya, murid yang baik, murid yang memiliki keyakinan diri yang tinggi. Beberapa peraturan yang mesti dipatuhi yang menampakkan ketegasan tetapi berhemah serta memiliki sifat keterbukaan dalam menerima pandangan serta bersedia melakukan perubahan.
Guru memperincikan bahan-bahan yang perlu disediakan oleh mereka dan bahan yang akan disediakan oleh guru sendiri supaya murid mengetahui bahawa gurunya bersedia untuk mengajar mereka. Jika sekiranya menjadi guru kelas berkenaan maka kesediaan guru untuk menjadikan kelas ini lebih ceria dan menarik menjadikan murid-murid berkeyakinan terhadap gurunya itu. Mengenali nama setiap murid di kelas tersebut adalah satu pendekatan yang baik. Murid akan menampakkan lebih mesra jika disebut nama mereka semasa berkomunikasi. Berbagai cara yang boleh dilakukan oleh guru untuk mengingati 'nama-nama mereka seperti bertanya nama setiap kali hendak bercakap dengan mereka, atau memasukkan foto-foto mereka dalam komputer peribadi untuk diingat setiap hari. Dalam masa yang singkat guru dapat mengingati semua nama mereka.
Guru juga boleh menyatakan beberapa ganjaran yang akan diberikan kepada murid jika mereka bersedia untuk memberi kerjasama semasa pengajaran dan pembelajaran berlaku atau pencapaian kemajuan murid bertambah baik dari masa semasa, seperti berjanji untuk bawa mereka ke tempat perkelahan atau lawatan ke mana-mana atau berjanji untuk menghadiahkan sesuatu. Guru sewajar menunaikan janji-janji itu supaya murid tidak kecewa dengan sikap guru yang dianggap berpura-pura itu. Saya pernah berjanji untuk membuat jamuan makan kepada mereka, membawa mereka ke tempat rekriasi, memberi hadiah tertentu, dan saya tunai setelah mereka tunjukkan peningkatan.
Pengajaran Dan Pembelajaran
Objektif pengajaran dan pembelajaran akan tercapai apabila murid mengetahui dan memahami tajuk yang diajar, kemudian mampu menganalisa dan membanding beza serta membuat penilaian serta mampu untuk mengaplikasi dalam situasi yang tertentu. Guru perlu memahami modul pengajaran dan pembelajaran yang bermula dengan set induksi, perkembangan isi mengikut aras serta menggunakan kaedah dan teknik yang sesuai, penerapan prinsip-prinsip Islam Hadhari, rumusan, tugasan dan ulasan kendiri. Biasanya apabila loceng berbunyi, guru akan masuk ke bilik darjah berkenaan atau murid –murid datang ke Bilik Pendidikan Islam. Ketika ini guru menunjukkan sikap kesungguhan untuk masuk ke kelas itu, dengan gaya berjalan yang laju serta membawa beberapa bahan yang diperlukan atau menjemput mereka supaya bergerak pantas ke Bilik Pendidikan Islam.
Apabila melangkah masuk teruskan memberi salam, mereka bangun dan membaca doa dengan ikhlas dan khusyuk supaya mendapat keberkatan Allah SWT. Selepas itu, guru meminta mereka bersihkan kelas, kemaskan diri, meja, kerusi, dan apa sahaja yang kelihatan tidak menceriakan sebagai suatu cara untuk mendidik dan memperadabkan mereka sebelum mereka menerima pelajaran.
Guru bertanyakan mereka, seperti 'apa khabar semua', 'ada yang sakit atau yang tidak sihat','siapa yang ada apa-apa masalah,' 'ustaz nampak semuanya seronok, ini yang menjadikan ustaz pun seronok hendak mengajar'. Pertanyaan-pertanyaan dan kata-kata begini adalah sentuhan awal supaya mereka seronok dengan kedatangan guru itu. Guru memuji dengan perkataan, 'bagus' supaya murid merasakan mereka dihargai, dan cuba berjenaka dengan mereka seperti memberi satu teka-teki dan sebagainya.
Guru memulakan pelajaran dengan menunjukkan sesuatu, atau menceritakan satu cerita pendek atau apa sahaja sebagai set induksi. Apabila sesuatu tajuk disentuh, guru cuba bertanya tentang beberapa pengalaman mereka yang ada kaitan dengan tajuk berkenaan. Murid-murid membuka buku teks bagi tajuk berkenaan, nota tambahan yang disedikan guru sebagai 'hand out', dan kertas A4 untuk dibuat peta minda. Guru juga mempamerkan bahan maklumat melalui 'slide' yang ditayang dengan bantuan 'LCD' atau menggunakan teknik-teknik yang lain.
Guru berbincang dengan murid secara bersahaja, tentang tajuk yang dipelajari, murid berbincang sesama mereka, membuat peta minda, bersoal jawab, guru memberi persoalan untuk diselesaikan oleh murid sendiri, murid membuat aktiviti kumpulan, guru membuat penilaian mengikut aras, dan berbagai aktiviti lain yang boleh merangsangkan minat murid. Di samping itu guru sentiasa berjenaka dan memberi perangsang serta memuji sebagai penghargaan bagi semua kerja yang sedang mereka lakukan. Guru sepatutnya tidak menyampaikan ilmu secara sehala, dari awal hingga akhir kerana teknik ini ternyata membosankan murid.Peranan otak kiri dan otak kanan perlu diseimbangkan. Otak kiri memberi penekanan kepada bahasa, rumusan matematik, lojik, urutan, nombor, analisi dan lirik lagu. Otak kanan memberi penekanan kepada bentuk dan corak, maipulasi ruang, imiginasi, angan-angan, dan rentak lagu. Maka peranan guru mempastikan kedua-dua otak itu berfungsi dengan baik.
Apabila mereka seronok dengan pembelajaran seperti ini menjadikan mereka terasa masa berada di kelas terlalu sebentar dan kadang-kadang mereka akan terus berada di kelas ini walaupun loceng telah berbunyi kerana kemungkinan selepas ini tiada guru yang datang ke kelas mereka.Pendekatan cara bermain atau berintraksi bersama mereka semasa pengajaran dan pembelajaran dijalankan menjadikan mereka semakin berani mengeluarkan berbagai idea secara spontan dan berani bertanya tentang perkara-perkara yang mereka tidak faham sebab mereka tidak merasa tertekan dan hati dan perasaan mereka sentiasa tenang. Mereka sendiri memahami apa yang terkandung dalam buku, guru hanya bertindak sebagai fasilitator yang hanya menekan aspek-aspek tertentu dalam kandungan itu.
Murid-murid ternyata lebih gemar membuat peta minda setelah mereka dilatih untuk membuatnya berkali-kali dan seolah-olah menjadi 'kegilaan' kepada mereka. Kelebihan membuat peta minda ialah mereka dapat menguasai semua isi yang terkandung dalam buku atau nota, dan mereka hanya menggunakan bahasa dan ayat-ayat sendiri ketika menjawab soalan, tidak bergantung ayat-ayat yang terdapat dalam buku. Oleh itu minda mereka akan lebih terbuka, di samping melatih mereka berfikiran kreatif dan kritis. Kadang-kadang guru berhadapan dengan murid yang lambat faham akan sesuatu tajuk atau isi kandungan. Pendekatan yang digunakan antaranya menjadikan rakannya sebagai 'guru' untuk menjelaskan perkara tersebut, menggalakkan pelajar berkenaan segera bertanya rakannya yang berdekatan atau mereka akan bangun bertanya rakan yang lebih meyakinkannya. Murid berkenaan tidak segan silu untuk terus bertanya dengan guru. Guru mengulangi semula dengan pendekatan yang lebih mudah atau membina soalan untuk dibincang dalam kumpulan setelah mengenalpasti ada murid yang masih belum faham kandungan tersebut.
Pendekatan-pendekatan yang lebih mudah, meringankan bebanan murid dan meningkatkan minat untuk terus menyelesaikan tugasan bagi tajuk berkenaan. Contohnya, murid yang sukar menghafaz ayat-ayat al-Quran bagi tingkatan empat, guru memberi kebebasan kepada murid bertemu dengan guru untuk menghafaz ayat-ayat itu di hadapan guru, guru boleh melantik murid-murid yang cemerlang menjadi naqib untuk mendengar hafazan murid berkenaan, kadang-kadang terdapat murid yang ingin menghafaz sedikit demi sedikit dan akhirnya semua ayat tersebut telah berjaya di hafaz atau pun menggunakan pelbagai pendekatan yang disukai oleh murid berkenaan dan guru sepatutnya melayan kehendak mereka.
Bagi murid-murid yang tidak menguasai bacaan al-Quran, guru boleh menggunakan pendekatan yang lebih berhemah. Contohnya, menjemput mereka berkumpul di suatu bilik yang tidak disertai oleh murid-murid lain. Guru memberi semangat, perangsang, serta mencerita kelebihan-kelebihan apabila boleh membaca al-Quran. Guru meminta pandangan mereka tentang cara yang kehendaki supaya mereka boleh mereka lakukan dan matlamatnya mereka boleh membaca al-Quran. Guru juga memberi cadangan, misalnya, guru memberi jaminan kepada mereka bahawa mereka boleh membaca al-Quran jika mereka mengikuti teknik dan kaedah yang akan di bawa oleh gurunya itu tetapi mereka hendaklah melakukan latihan berterusan di rumah atau di luar bilik darjah. Gabungan kaedah Iqrak, Qiraati dan Hattawiyah boleh digunakan tetapi guru hendaklah sentiasa memantau perkembangan mereka dengan memberi galakan, pujian, ganjaran, penghargaan berterusan. Murid-murid ini kadang terasa malu disebabkan kelemahan mereka. Oleh itu guru tidak perlu menggunakan kaedah yang menyebabkan mereka menjadi malu, seperti menyuruhnya membaca dengan kuat di hadapan kelas, sebaiknya mereka di bawa ke tempat lain atau membaca dalam kumpulan yang sama atau membaca secara beramai-ramai.
Jika mampu selalu berjumpa mereka untuk berbincang dan sekali sekala jemput mereka makan di kantin dan sebagainya supaya mereka dapat merasai bahawa guru itu benar-benar untuk membantu mereka menguasai bacaaan al-Quran. Setelah mereka berjaya membaca maka berilah penghargaan berupa sijil di perhimpunan sekolah. Apabila mereka merasakan seronok belajar Pendidikan Islam maka mereka akan berusaha untuk memahami tajuk yang sedang dipelajari. Di samping galakan dan motivasi guru yang berterusan. Dengan wajah keriangan yang ditunjukkan oleh guru, serta menampakkan kesayangan guru itu terhadap murid, menjadikan mereka terasa bersalah jika mereka tidak mendengar nasihat-nasihat yang dilontarkan oleh guru.
Guru juga hendaklah menunjukkan ketegasan semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung, tetapi ketegasan itu dilakukan dengan senda gurau, sambil mengenakan sedikit denda terhadap mereka, dan mereka bersedia untuk menerima dengan lapang dada seperti menarik sedikit telinga sebagai menandakan guru tidak gemar dengan perlakuan tersebut. Murid yang sememangnya sayang kepada gurunya itu, dengan cepat memohon maaf, dan guru terus maafkan dan letakkan tangan dibelakang mereka atau memuji mereka supaya mereka tidak merasakan sesuatu yang boleh menjejaskan penumpuan terhadap pelajaran yang sedang dihadapi itu. Denda atau hukuman yang boleh menjatuhkan maruah dan memalukannya sepatutnya dielakkan supaya murid berkenaan tidak tertekan, akibatnya murid berkenaan mungkin membuat tindakan negatif seperti tidak datang ke sekolah, merosakkan harta benda sekolah dan sebagainya.
Penggunaan alatan bantuan mengajar, model-model tertentu, atau kepelbagaian kaedah yang lebih kepada berpusatkan murid. Pendekatan, modul atau kaedah seperti Pembelajaran Masteri, Pembelajaran Kerjasama, Kontruktivisma, Pembelajaran Kontektual, adalah di antara kaedah yang boleh digunakan mengikut kesesuaian tajuk, kemampuan murid, dan kebijaksanaan guru mengaplikasikannya supaya dapat menghasilkan pembelajaran yang memberangsang minda mereka. Kesannya, murid mudah faham dan minat mereka untuk meneruskan pembelajaran dan mereka tidak menunjukkan perlakuan yang bermaksud bosan dengan cara guru menyampaikan pengajaran.
Contohnya, tajuk cara menyempurnakan ibadah haji dan umrah. Model-model berbentuk replika seperti model kaabah, jamrah, tempat saei, tempat wukuf, Mina dan Muzdalifah serta Miqat Makani. Guru menggunakan beberapa murid untuk menunjuk cara, simulasi, main peranan dan sebagainya. Penggunaan pendekatan ini, murid akan lebih mudah faham dalam masa yang singkat.
Bagi meningkatkan pencapaian murid dalam bacaan dan tulisan jawi, maka tindakan yang boleh difikirkan ialah langkah pertama, mengadakan penilaian mudah untuk mengetahui tahap sebenar pencapaian murid berkenaan, bagi murid yang terlalu lemah, diperkenalkan huruf hijaiyah yang dipadankan dengan huruf rumi, kemudian ditingkatkan ke tahap mengenal suku kata hingga seterusnya murid boleh membaca kalimah mudah dan kalimah yang lebih dari dua sukukata hinggalah ke tahap boleh membaca ayat-ayat dan esei. Pendekatan mendekati murid adalah seperti yang telah dijelaskan perlu untuk menarik minat mereka menyintai jawi.
Memasang lagu-lagu nasyid atau zikir yang boleh menjadi halwa telinga mereka tetapi diperlahankan suaranya, supaya murid rasa terhibur dan kadang-kadang kandungan lagu itu memberi kesedaran dan keinsafan kepada mereka, juga dapat membantu meningkatkan keseronokan dan minat murid untuk meneruskan pembelajaran.
Kebiasaannya guru berhadapan dengan masalah apabila berada di kelas yang terlalu lemah dan kemungkinan terdapat empat atau lima murid yang tidak boleh membaca dengan baik dan yang lain pula bersikap malas, suka ponteng, tidak suka membuat tugasan yang diberikan oleh guru, suka tidur dan sebagainya menyebabkan guru terasa bosan untuk berhadapan dengan mereka. Sebagai guru yang telah diberikan amanah untuk mengajar di kelas yang berkenaan seharus mencari pendekatan yang boleh meningkatkan motivasi dan kecenderungan mereka untuk mengikuti pelajaran yang sedang diajar.
Guru sepatutnya mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menambahkan kebencian mereka terhadap mata pelajaran yang diajar atau terhadap guru sendiri. Leteran yang berterusan, menyebut perkara-perkara negatif yang ada pada mereka seperti mengecap mereka sebagai pemalas, pengotor, kaki tidur dan sebagainya akan menghilangkan minat mereka untuk berada bersama guru itu. Pendekatan yang berkesan, murid-murid diberikan perhatian, dan pujian jika mereka melakukan sedikit perubahan ke arah kebaikan. Mulakan pelajaran dengan perkara yang cukup mudah, banyak memberi contoh-contoh, dekat dengan mereka ketika mengajar. Jika mereka tidak faham, cuba ulang bahagian itu melalui kaedah yang berbeza seperti memberi lambaran kerja, bimbing mereka untuk mendapatkan jawapan, gembirakan hati mereka, berjenaka, dan memberi tindak balas positif terhadap perlakuan dan pertuturan mereka.
Apabila mereka sudah menampakkan kecenderungan untuk belajar, teruskan memberi galakan, motivasi dan pengharapan yang baik, seperti kata-kata,'saya yakin murid kelas ini boleh lulus pelajaran ini dalam peperiksaan nanti, kerana ustaz sudah nampak ada peningkatan, ustaz seronok jika murid kelas ini berjaya'. InsyaAllah perubahan akan berlaku, sekurang-kurang guru dapat menjalankan tugas dengan sempurna dan berkesan di kelas berkenaan, tetapi amalan ini hendaklah dilakukan berterusan bukan secara sekali sekala. Yang lebih penting guru menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap mereka.
Latihan, Penilaian Dan Pentaksiran
Aspek yang diberikan penekanan ketika membuat latihan dan menjawab peperiksaan ialah keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab, bukan kerana terpaksa atau dipaksa atau melaksanakan sekadar melepas batuk di tangga, tidak menipu dengan cara meniru rakan secara menyalin semula jawapannya, belajar menerima hakikat iaitu menyatakan kemampuan sebenar supaya guru boleh membuat penambahbaikan, tidak malu untuk menyatakan kelemahan, sedia mendapatkan pertolongan rakan bagi meningkatkan kemahiran dan kefahaman. Akhirnya murid-murid dapat mendengar nasihat guru dan melaksanakan tugasan dengan baik.
Sebaik-baiknya, setiap tajuk yang dipelajari diberikan latihan untuk dilaksanakan di minit-minit terakhir dan menyambung tugasan itu di luar kelas atau di rumah sebagai kerja rumah. Guru menggalakkan murid menjawab latihan mengikut teknik jawapan yang betul dan jawapan yang dikemukakan itu adalah betul. Caranya, murid diminta berbincang dengan rakan-rakan sekiranya tidak yakin dengan jawapan yang diberikan itu. Nasihatkan mereka secara ikhlas supaya mereka tidak menyalin terus daripada jawapan rakannya itu. Berikan penekanan bahawa murid yang ikhlas dan yakin dengan pekerjaan akan mudah mencapai kejayaan dan keberkatan.
Menjawab soalan-soalan yang diberi oleh guru melalui perbincangan kumpulan juga satu teknik yang boleh membantu murid yang lemah. Setelah mendapat jawapan, masing-masing murid menulis jawapan tersebut. Kemudian ketua kumpulan akan menyemak semula jawapan setiap ahli kumpulan. Guru menunjukkan teknik dan kaedah menjawab soalan yang berkesan diperingkat awal lagi. Guru melatih sehingga mereka faham, kemudian latihan demi latihan mengikut teknik peperiksaan sebenar. Semua guru sepatutnya memahami teknik menjawab soalan peperiksaan awam (PMR dan SPM) supaya murid-murid dilatih sejak di tingkatan satu bagi PMR dan di tingkatan empat bagi SPM.
Setiap latihan murid direkod dalam buku rekod dengan memberi markah mudah iaitu A,A-,A+,B,B-,B+,C,C-,C+,D,dan E, rekod-rekod dipamerkan kepada mereka melalui 'LCD', supaya mereka dapat membezakan percapaian mereka dan membandingkan dengan pencapaian rakan-rakan mereka. Guru akan memberi nasihat dan bimbingan kepada pencapaian yang lemah, pencapaian yang masih tidak berubah atau yang menurun.
Bagi kelas yang lemah, guru perlu memperbanyakkan soalan-soalan pencapaian rendah dan cuba memberi satu jawapan contoh supaya mereka berminat untuk terus menjawab soalan-soalan itu sehingga selesai. Galakan dan pujian harus diberikan terutama murid yang lemah jika ada sedikit pencapaian, guru perlu membuat pembetulan perkara-perkara yang salah dan berikan sedikit markah bagi jawapan tersebut, supaya murid berkenaan merasakan ada peningkatan dalam diri mereka.
Pemulihan, Pengukuhan dan Pengayaan
Bagi memastikan pencapaian murid terus meningkatkan prestasi maka perlu diadakan program pemulihan, pengukuhan dan pengayaan. Program ini boleh dilaksanakan di masa pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, guru perlu mengenal pasti murid yang masih tidak menguasai topik berkenaan kemudian diberi pemulihan segera, jika tiada kesempatan, program itu perlu dilanjutkan di luar bilik darjah iaitu semasa lapang atau di luar waktu persekolahan.
Program pengukuhan dan pengayaan boleh dilaksanakan dari masa ke semasa melalui kelas-kelas tambahan atau tugasan tambahan yang diberikan kepada murid untuk diselesaikan secara individu atau kelompok. Penekanan secara lebih intensif dilaksanakan sebulan sebelum peperiksaan percubaan. Selepas peperiksaan percubaan guru membuat analisa keputusan untuk melihat kelemahan dan kekuatan murid kemudian tindakan susulan dijalankan bagi membantu meningkatkan kemahiran.
Penutup
Kejayaan seseorang guru dalam usaha untuk meningkatkan prestasi murid tidaklah semata-mata bergantung kepada kemahiran menggunakan teknik dan kaedah pengajaran yang pelbagai sahaja. Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah juga berkait rapat dengan kefahaman guru tentang peranan mereka yang sebenar, personaliti, keperibadian, kewibaan dan kesungguhan yang ditonjolkan, kebijaksanaan menawan hati budi murid, sifat pengorbanan dan keikhlasan, di samping perancangan yang teliti dan menyeluruh.
Pemantauan dan penyeliaan yang berterusan serta melakukan refleksi bagi tujuan pemulihan, pengukuhan dan pengayaan merupakan usaha-usaha dilakukan semasa dan selepas aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam konsep hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini.
Kajian tindakan atau soal selidik boleh dilakukan oleh guru sebagai asas untuk tindakan yang lebih berkesan ke arah peningkatan prestasi murid. Perkongsian bijak dengan rakan-rakan panitia juga salah satu langkah ke arah memeperkasakan pengajaran dan dan pembelajaran. Bagi melaksanakan tugas yang mencabar ini, guru tidak perlu mengeluh dan merasa kecewa jika usaha-usaha yang dijalankan menemui kegagalan. Usaha dan ikhtiar yang berterusan mengikut pendekatan-pendekatan yang difikirkan wajar hasil daripada kreativiti dan innovasi serta komitmen guru yang tinggi. Kepuasan bagi seorang itu ialah apabila ramai murid yang diajar mencapai kejayaan. InsyaAllah dengan doa dan harapan, usaha yang disertaikan dengan niat yang ikhlas kerana Allah akan mendapat keberkatanNya jua.
Guru di awal gurulah di akhir
No comments:
Post a Comment