Sebuah kelab malam di pinggir ibu kota dikesan menawarkan pakej
maksiat ‘dua dalam satu’ membabitkan tarian gadis seksi di dalam
sangkar, selain dilengkapi pusat pelacuran bagi memerangkap lelaki
miang.
Aduan beberapa pengunjung kelab malam itu membawa wartawan Metro Ahad menyiasat kesahihan dakwaan terbabit sejak awal tahun ini.
Bagaimanapun, pengusaha malam kelab terbabit licik mengelirukan pihak
berkuasa apabila hanya menyediakan tarian sangkar pada hari tertentu
dari semasa ke semasa, tetapi harinya tidak konsisten.
Seorang pengunjung dikenali sebagai Joe berkata, dia pernah
menyaksikan tarian sangkar membabitkan beberapa gadis seksi di kelab
malam itu, tetapi ia hanya sesekali diadakan.
Katanya, tarian sangkar tarikan terbaru beberapa kelab malam sekitar
ibu kota bagi menggantikan tarian joget tiang yang makin kurang
diminati.
“Susah mahu cakap hari apa ada tarian sangkar, biasanya tak tentu. Mungkin tauke takut kelab kena serbu kalau buat hari tetap.
“Saya pun biasanya cuba nasib saja, kalau ada nasib baik, kalau tak, layan muzik sajalah,” katanya.
Berdasarkan siasatan, hampir 30 pelayan pelanggan (GRO) warga China
memenuhi premis terbabit dari semasa ke semasa. Mereka boleh dijadikan
teman ‘minum’ atau menari jika pelanggan membeli minuman keras atau
memberi tip.
Pusat hiburan itu turut dikesan menganjurkan parti liar pada masa
tertentu bagi menarik perhatian pengunjung berdasarkan beberapa iklan di
dalam premis terbabit.
Siasatan seterusnya membawa kepada penemuan pusat pelacuran di atas
premis hiburan ini. Didapati, individu yang mabuk dan miang akan ke
tingkat dua premis terbabit bagi melampiaskan nafsu.
Keadaan pusat pelacuran yang berselindung di sebalik premis pusat
urut dan spa ini seakan-akan hotel lima bintang apabila ruang tamunya
dilengkapi sofa mewah dan beberapa skrin televisyen LCD berserta meja
komputer.
Kebanyakan pelacur di premis ini adalah warga China dan Thailand
berusia 20 hingga 28 tahun. Begitupun, harga ditetapkan berbeza mengikut
warga negara iaitu RM238 bagi pelacur China dan RM178 bagi pekerja seks
Thailand.
Lebih menjijikkan, satu daripada skrin LCD terbabit turut menayangkan tayangan lucah secara terang-terangan kepada pelanggannya.
Pemerhatian wartawan mendapati, pelanggan yang memilih pelacur di
ruang tamu premis itu akan dibawa ke bilik khas di bahagian belakang
pusat berkenaan.
Sebagai langkah ‘keselamatan’ dan untuk mengelak diserbu pihak
berkuasa, premis ini turut dilengkapi puluhan kamera litar tertutup
(CCTV).
Difahamkan, pusat pelacuran ini beroperasi lebih awal daripada premis
hiburan berkenaan iaitu seawal jam 12 tengah hari sehingga 5 pagi,
manakala premis hiburan itu pula dibuka seawal jam 7 malam sehingga
lewat pagi.
Kredit : Tuan Tanah
No comments:
Post a Comment