Semporna Kena Serang !!!
CATATAN PERISTIWA BERDARAH DI SEMPORNA SABAH (29/4/1954)
Hari itu, 29 April, 1954, yang mengorbankan nyawa dan harta benda. Malah ada yang dicabul kehormatan, dirogol dan diperkosa.
Tarikh hitam itu masih kekal dalam ingatan penduduk yang menyaksikan
peristiwa berdarah akibat perbuatan ganas mundu-mundu (lanun-lanun) yang
datangnya entah dari mana.
Pekan Semporna yang terletak di pinggir laut itu sepertimana biasa, aman
dan damai. Petang itu, udara menghembus nyaman dari laut yang biru yang
tenang itu.
Padang bola sepak yang terletak berhampiran dengan Balai Polis Semporna
itu telahpun dipenuhi oleh peminat-peminat bolasepak yang saban petang
punya pengunjungnya. Mereka bermain dengan begitu seronok sekali.
Beberapa anggota polis juga turut bermain untuk mengeluarkan peluh di
samping memupuk hubungan baik dengan masyarakat setempat.
Balai Polis Semporna yang terletak di bawah Kawalan Ketua Polis Daerah
(OCPD) Lahad Datu mempunyai keanggotaan 7 orang sahaja. Ketua Polis
Balai (OCS)- nya ialah Sarjan Sagar Singh. Perhubungan antara Balai
Polis Semporna dengan ibu pejabat daerahnya di Lahad Datu hanya menerusi
radio wireless dan jalan laut sahaja yang memakan masa lebih kurang 10
jam perjalanan.
Peristiwa berdarah itu masih segar dalam ingatan Encik Bullah Ganggal,
bekas pegawai polis yang baru bersara dengan pangkat Penolong Penguasa
Polis (ASP). En.Bullah, keturunan Kadazan, semasa kejadian itu bertugas
di balai polis tersebut dengan pangkat Detektif Lans Koperal.
“ Segala-galanya bermula pada jam 5.30 petang. Pada masa itu
penduduk-penduduk Semporna sedang berehat setelah kembali dari menangkap
ikan. ” En.Bullah Ganggal memulakan ceritanya.
“ Para pemuda pula sedang seronok bermain bola. Ia turut berada
berhampiran padang bola itu. Tiba-tiba bunyi tembak bertalu-talu dari
arah jeti yang tidak jauh dari situ ”, katanya.
“ Orang di pekan dan di padang itu lari bercempera sambil berteriak,
mundu! mundu ! (lanun ! Lanun !) cepat lari. Masing-masing mencari
tempat perlindungan ".
“ Melihatkan keadaan kelam-kabut dan serangan mengejut lanun itu, Sarjan
Sagar Singh segera memerintahkan orang-orangnya bersiap sedia. Ia
memerintahkan saya membawa isteri dan anak-anak anggota polis Semporna
berlindung di balai. Ini disebabkan keadaan di balai itu lebih selamat
kerana adanya pagar berduri dan segala senjatapi serta peluru ada di
sana ".
L/Kpl Bullah Ganggal segera bertindak dengan menjerit memanggil semua isteri dan anak-anak polis untuk mengikutnya ke balai.
“ Belum sempat isteri-isteri dan anak-anak polis itu saya lindungkan di
balai, saya lihat dari celah-celah lubang berek kami, lanun-lanun yang
ramainya tidak kurang 50 hingga 70 orang itu telahpun hampir dengan
Balai Polis Semporna. Mereka berpecah kepada dua kumpulan. Satu kumpulan
mara ke balai polis satu lagi ke arah bot jabatan hutan ”.
Sementara itu di balai polis, Sarjan Sagar Singh dengan dibantu oleh
orang-orangnya iaitu PC 442 Sulaiman dan PC Jambuan memuntahkan peluru
ke arah lanun-lanun yang begitu ramai itu. Sarjan Sagar Singh dan
orang-orangnya sekali-kali tidak mahu menyerah kalah kepada lanun-lanun
itu sekalipun terpaksa mengorbankan nyawa mereka.
Sambil memuntahkan peluru ke arah balai yang dipertahankan
bermati-matian oleh Sarjan Sagar Singh itu, lanun itu memusnahkan
alat-alat hubungan wireless di luar balai itu. Dengan itu hubungan Balai
Polis Semporna dengan Ibu Pejabat Daerah Polis Lahad Datu TERPUTUS.
“ Kita mesti pertahankan balai ini hingga ke titisan darah terakhir.
Biar putih tulang, jangan putih mata ”, kata Sagar Singh kepada dua
orang anggotanya dengan penuh semangat. Mereka terus melawan dengan
beraninya.
En.Bullah Ganggal yang ditugaskan melindungi isteri dan anak-anak polis
tidak dapat berbuat apa-apa kerana pada masa itu senjata tiada di
tangannya. Kalau dia keluar tanpa senjata tentu seperti menyerah diri
tanpa berlawan. Ia melihat bagaimana rakannya PC Jambuan yang kehabisan
peluru ditikam dengan barung (parang) oleh lanun-lanun itu. Ia dibunuh
dengan kejam sekali di mana perutnya diburaikan.
Akhirnya kerana kehabisan peluru dan lanun-lanun yang ramai itu
bersenjatakan senjata-senjata automatik, maka Sarjan Sagar Singh dan dua
orang anggotanya terkorban. L/Kpl Bullah Ganggal cuba untuk keluar dari
tempat persembunyian untuk memberi bantuan tetapi dihalang oleh
permintaan isteri Sjn.Sagar dan isteri-isteri anggota polis yang lain
supaya jangan pergi dan melindungi mereka di situ.
Bila saja lanun-lanun itu mendapati Sjn Sagar dan orang-orangnya
terkorban , mereka lalu merempuh ke dalam balai polis. Bilik radio polis
dipecah dan alat-alatnya dimusnahkan. Mereka juga memecahkan bilik besi
tempat menyimpan senjatapi dan peluru lalu merampasnya.
Lanun-lanun itu semakin menganas. Senjatapi mereka ditembak ke sana ke
mari. Mereka terus menggeledah seluruh rumah dan kedai di pekan
Semporna.
“ Apa yang saya dengar lepas itu ialah teriakan dan jeritan minta tolong
oleh mangsa-mangsa lanun-lanun yang jahat itu. Mereka bukan sahaja
merompak, mengambil apa sahaja barang-barang berharga, makanan, malah
mereka juga merogol wanita dan anak dara. Mereka sungguh kejam dan tidak
berkeperimanusiaan langsung”, Kata En.Bullah dengan perasaan amat
geram. “ Apakan daya masa itu saya tidak bersenjata dan memikirkan pula
keselamatan anak isteri anggota-anggota polis. Saya kesal tidak dapat
membantu kawan-kawan saya yang gugur sebagai perwira negara ".
“ Lanun-lanun celaka itu telah bermaharajalela selama 3 jam iaitu dari
jam 5.30 hingga 8.30 malam di pekan Semporna. Mereka melakukan pelbagai
dosa yang tidak dapat diampun ", terang beliau lagi.
Menurut En.Bullah ia tidak tahu dari mana datangnya lanun-lanun itu
tetapi ia mengagakkan dari percakapannya adalah dari Seberang
(Filipina).
Selama 3 jam Semporna telah menjadi neraka. Lanun-lanun bertindak
sewenang-wenangnya kerana tiada siapa berani melawannya. Akibatnya,
Semporna musnah semacam diserang garuda, menjadi padang jarak padang
tekukur. Setelah lanun-lanun itu puas memuaskan hawa nasfu, mereka
segera menghilangkan diri di lautan luas dengan kumpit-kumpit (perahu)
yang dilengkapi dengan motosangkut laju.
“ Bila mendapati lanun-lanun itu berlalu, saya dan anak isteri
anggota-anggota polis keluar dari tempat persembunyian di berek polis
itu. Betapa sedih hati saya melihatkan rakan-rakan saya, Sjn Sagar, PC
Jambuan, PC Gimun terkorban. Mayat mereka yang berlumuran darah itu
dipeluk dan ditangisi oleh anak dan isteri masing-masing. Saya turut
menitiskan air mata melihatkan peristiwa itu. Hingga hari ini ianya
kekal dalam ingatan saya, ” ceritanya lagi.
L/Kpl Bullah segera mengambilalih tugas Ketua Polis Balai. Didapatinya
dua orang anggotanya masih hidup. Mereka itu sedang bermain bola ketika
lanun menyerang. Oleh kerana tidak sempat lari ke balai, mereka terpaksa
bersembunyi.
Setelah menguruskan mayat empat orang rakannya L/Kpl Bullah terus
berbincang dengan Ketua Anak Negeri (Penghulu) Semporna, Panglima
Jakarullah yang telahpun tiba di balai bersama-sama orangnya.
Dengan bantuan mereka, dia membuat rondaan di sekitar bandar Semporna
untuk mengumpul mayat dan memberi pertolongan kepada orang yang cedera
akibat kekejaman lanun-lanun tadi. Hasilnya mereka menemui mayat seorang
pegawai hutan British, seorang pekedai Cina (tukang jahit) dan seorang
pemuda Bajau Semonul. Mayat -mayat itu dibawa ke balai polis untuk
diuruskan.
L/Kpl Bullah seterusnya mengadakan perbincangan dengan Panglima
Jakarullah dan orang-orangnya pada malam kejadian itu. Mereka mengambil
keputusan untuk menhantar dua orang awam ke Lahad Datu bagi membawa
pembantu hospital Harry Chew dan Lian Chap Yit yang luka parah mendapat
rawatan. Di samping itu mereka juga diarahkan meminta bantuan segera
dari KPD Lahad Datu yang tidak dapat dihubungi menerusi wireless radio.
Pada malam itu L/Kpl, Bullah dan Panglima Jakarullan serta
orang-orangnya mengambil keputusan untuk berjaga dan berwaspada bagi
menentang lanun-lanun yang mungkin datang sekali lagi.
Kredit :ipohmalay.blogspot.com
No comments:
Post a Comment