27 March 2013

21 Jam Menahan Azab !!!


21 jam  tanggung azab 
 Hasnal menceritakan pengalamannya pada majlis penyampaian sumbangan warga KPDNKK untuk balu serta waris anggota keselamatan yang terkorban dalam insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu dan Semporna di Putrajaya, semalam. - Foto Fariz Iswadi Ismail
 
Putrajaya: “Luka di badan dihurung semut dan lalat, darah di muka dan tangan sudah kering, seluar dan baju jadi keras bila darah mengering, tangan kanan terkulai hampir putus selepas ditetak,” kata Inspektor Hasnal Jamil, 31.

Menceritakan pengalaman bertempur menentang pengganas di Simunul, Semporna, beliau antara anggota barisan hadapan, berkata azab itu terpaksa ditanggung hampir 21 jam sebelum diselamatkan.

Beliau terkena tiga tembakan, satu menembusi perut selain dua lagi di tangan kiri dan hanya dapat gunakan tiga jari tangan kiri untuk minum air hujan yang ditadah.


Pasukannya, termasuk seorang rakan yang terbunuh dan sembilan anggota lain, terperangkap di sebuah rumah papan selepas diserang hendap sekumpulan pengganas bersenjata di Kampung Sri Jaya pada 2 Mac lalu.


Mereka hanya diselamatkan pasukan VAT69 pada jam 5.30 petang keesokan harinya berikutan keadaan di kawasan perkampungan air itu belum selamat ketika itu.


“Selepas ditembak saya jatuh dan cuba lari tetapi dilihat pihak musuh. Kemudian saya ditetak di kepala dan mereka juga cuba menetak leher namun saya tepis menggunakan tangan.


Tangan hampir putus

“Akibatnya, parang ‘barong’ yang mereka hayun terkena tangan kanan dan kiri menyebabkan ia patah dan hampir putus,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk balu serta waris anggota keselamatan yang terkorban atau cedera dalam insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.


Hasnal berkata kejadian tembak menembak selama 15 minit bermula pada jam 7.30 malam itu tidak ubah seperti ditonton di kaca televisyen.


“Saya terkulai di sebelah mayat rakan saya dan dibantu sembilan lagi anggota pasukan yang lain untuk cuba mendapatkan perlindungan di sebuah rumah papan lebih 15 meter dari tempat kejadian.


“Saya hanya ditemani dua anggota, selebihnya duduk di luar untuk memantau keadaan, hingga jam 5.30 petang keesokan hari. Kami hanya minum air hujan yang ditadah dalam tong sementara menunggu bantuan.


“Rumah kami duduk itu memang tidak sesuai untuk berlindung kerana mudah ditembusi peluru, namun kami hanya bertawakal dan berdoa supaya selamat,” katanya.


Hasanal berkata, pada malam kejadian beliau mengarahkan anggota lain menutup telefon bimbit supaya tempat perlindungan mereka tidak dikesan pihak musuh.


“Malam itu saya menerima banyak panggilan telefon tetapi tidak menjawabnya. Saya hanya buka telefon selepas diselamatkan dan mendapati panggilan daripada isteri yang berada di Semenanjung. Ketika itu, saya buat seperti biasa dengan memberi alasan ada urusan kerja dan akan telefon kembali,” katanya.


Anak kelahiran FELDA Teloi Timur, Kedah itu berharap jangan ada lagi pihak memperlekehkan anggota polis mempertahankan negara dan mencabar mereka yang mempertikaikan pengorbanan pasukan keselamatan pergi ke Lahad Datu untuk lihat sendiri apa yang terjadi. 


Sumber : Berita Harian 

No comments: