Bertindak sebagai komander kumpulan bagi sektor Bravo terdiri daripada
34 anggota dan pegawai, beliau berkata pertempuran berlaku selepas
pengganas cuba mengepung pasukan keselamatan Charlie.
'Ibarat hujan peluru' itulah ungkapan angota-anggota Komando VAT69 bagi
menggambarkan pertempuran dengan pengganas dari selatan Filipina di
Lahad Datu 1 Mac lepas.
Insp Azwanazlee Saffiai, 33, berkata terdapat dua pasukan yang bertempur
dengan kumpulan militan itu iaitu Pasukan Gerakan Khas (PGK) VAT 69
Bravo dan Charlie.
"Sewaktu cuba mengepung pasukan keselamatan Charlie yang juga dianggotai
34 anggota dan pegawai, pengganas memasuki kawasan sektor Bravo dan
mereka kemudian mengeluarkan arahan supaya sektor kami (Bravo) beredar
meninggalkan kawasan.
"Kami (Bravo) enggan berganjak sebaliknya cuba mendapatkan arahan
daripada Komander untuk melepaskan tembakan. Pihak pengganas yang
sebelum itu memberi amaran 'berambus Tiger, balik' (kepada kami) telah
melepaskan tembakan kerana kami tidak mahu berundur," katanya kepada
Bernama di sini hari ini.
"Mereka (pengganas) cuba rapat dengan kami dan mengacukan senjata serta
melepaskan tembakan bertubi-tubi dalam jarak kira-kira 10 meter,"
katanya.
Pertempuran yang berterusan selama sejam itu mengorbankan dua anggota
polis iaitu ASP Zulkifli Mamat, 29, dan Sjn Sabaruddin Daud, 46. Pasukan
keselamatan menembak mati 15 musuh.
Azwanazlee berkata dalam pertempuran di kawasan kelapa sawit yang
berpaya itu, beliau mendapati beberapa anggota pengganas sukar
ditumpaskan walaupun ditembak bertubi-tubi.
"Kami rasa mereka seolah-olah memakai ilmu kebal kerana walaupun telah
ditembak berkali-kali tetapi tidak jatuh. Arahan untuk menembak di
bahagian kepala diterima dan ia akhirnya berjaya menumpaskan pengganas
itu," katanya.
Berkongsi pengalaman sama, Kpl Muhammad Imran Abd Talib, 28, yang diatur
gerak dalam satu lagi pasukan iaitu sektor Alpha di Kampung Tanduo,
berkata beliau dapat menumpaskan pengganas dalam jarak yang paling dekat
iaitu kira-kira dua meter.
"Saya masuk kampung Tanduo pada 28 Feb dan pada pagi 1 Mac saya dan
rakan lain diletakkan dalam keadaan siap siaga. Ketika itu kami sedang
menyediakan makanan sebelum mendengar bunyi tembakan di kawasan sektor
Bravo," kata anak bekas komando itu.
Beliau berkata pokok kelapa sawit menjadi tempat perlindungan daripada serangan pengganas.
"Bertempur dalam hutan tidak sama dengan bertempur di kawasan ladang
kelapa sawit dengan binaan rumah yang tidak banyak. Pemandangan menjadi
lebih luas dan ia mudah untuk dilihat musuh, itu antara cabaran yang
harus ditempuhi ketika
itu.
"Selepas bertempur saya lihat tempat perlindungan saya dipenuhi kesan
tembakan. Saya bersyukur kerana peluru yang datang seperti hujan itu
tidak mengenai saya," katanya.
Muhammad Imran yang terpaksa menangguhkan pertunangannya, berkata beliau
bangga kerana dapat menyumbang kudrat demi mempertahankan negara. -
BERNAMA
No comments:
Post a Comment