Lahad
Datu, 24 Mac - Pasukan keselamatan hari ini mengesahkan panglima
tentera Sulu yang ditangkap di Semporna semalam ialah Datu Amir Bahar
Hushin Kiram.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid
Abu Bakar berkata lelaki berusia lewat 40-an yang juga menteri
pertahanan Sulu itu bertindak sebagai panglima yang memberi arahan sejak
pencerobohan di Lahad Datu 12 Feb lepas.
"Dia kini ditahan di
bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012,"
katanya pada sidang akhbar bersama Panglima Angkatan Tentera Tan Sri
Zulkifeli Mohd Zin di Markas Operasi Felda Sahabat 16, dekat sini hari
ini.
Semalam, pasukan keselamatan menahan seorang pemerintah
kumpulan penceroboh itu bersama isterinya di sebuah kawasan paya pada
pukul 1.30 pagi.
Mengenai penduduk Kampung Tanduo yang
dipindahkan, Khalid berkata pihaknya telah mencapai persetujuan bersama
ketua-ketua keluarga dan ketua kampung itu untuk membawa mereka masuk ke
kampung berkenaan Selasa ini.
Langkah itu adalah sebahagian
daripada proses penilaian yang sedang dijalankan Majlis Keselamatan
Negara dan mereka akan diiringi pegawai daripada Pejabat Daerah Lahad
Datu dan pasukan keselamatan.
Mengenai statistik terkini
Operasi Daulat, Khalid berkata sehingga kini 416 individu ditangkap dan
daripada jumlah itu 110 orang ditahan mengikut Sosma.
Dua tangkapan terbaharu Sosma itu ialah panglima tentera Sulu terbabit dan isterinya.
Sementara itu, Zulkifeli berkata kawasan Kampung Tanduo kini bersih
sepenuhnya daripada ancaman pengganas dengan bilangan pasukan
keselamatan yang ditugaskan di kampung itu turut dikecilkan.
Mengenai Operasi Daulat, beliau berkata operasi itu masih diteruskan.
"Kini, fokus utama Operasi Daulat ialah meneruskan pembersihan di
kawasan Kampung Tanjung Batu dan yakin ia mampu diselesaikan dalam masa
terdekat," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment