24 March 2013

Istiqamah Untuk Berjaya


Orang yang Istiqamah tidak mudah terpengaruh dengan godaan hawa nafsu 
dan syaitan serta tunduk pada tekanan dalam beribadah. - Gambar hiasan.

DALAM kehidupan umat Islam, sifat Istiqamah membawa maksud tetap atau berpendirian teguh atas kebenaran.

Secara umumnya, berpegang pada akidah Islam dan melaksanakan syariat dengan teguh, tidak berubah atau berpaling tadah walau apa jua keadaan.

Umat Islam digalakkan berpegang teguh pada akidah yang benar, iaitu Akidah Ahli al-Sunnah wal-Jamaah, melaksanakan tuntutan syariat Islam berpandukan al-Quran dan hadis, mempunyai prinsip dan keyakinan yang kuat, tidak mudah terpengaruh dengan godaan hawa nafsu dan syaitan dan tidak tunduk pada tekanan dalam melaksanakan tanggungjawab dengan mempertahankan kebenaran.

Sifat mulia ini dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu; diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Esa, kerana itu tetaplah kamu (beribadah) kepada-Nya dan mohonlah ampunan kepada-Nya. Dan celakalah bagi orang-orang yang mempersekutukan-Nya)" (Surah Fussilat: 41:6).

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Katakanlah aku beriman dengan Allah SWT kemudian teguhkan pendirian kamu." (Riwayat Muslim).
Istiqamah merangkumi amalan hati, amalan lisan serta perbuatan iaitu anggota tubuh badan yang merupakan kekuatan sepanjang hayat dalam melaksanakan tuntutan Islam.

Sebagai contoh, istiqamah dalam iman, dalam solat dan ibadah-ibadah lain serta menegakkan kebenaran dan keadilan dengan menentang kebatilan dan kezaliman.

Sebagai ibu bapa, kena didik anak-anak dengan sifat istiqamah yang dapat mendidik hati supaya sentiasa tetap teguh kepada Allah SWT.
Pendidikan sejak kecil hingga remaja dan terus kepada dewasa akan memperteguh hati dan jiwa supaya sentiasa beristiqamah kepada Allah SWT.

Bagi memperkukuh istiqamah dalam hati seseorang Muslim mestilah mempertahankan kesucian iman, menjaga kesucian hati daripada sifat-sifat syirik, riak, takbur dan sombong.

Sifat-sifat ini adalah penghalang kepada istiqamah. Seterusnya menyuburkan hati dengan sifat ikhlas, jujur dan sentiasa reda kepada-Nya.
Keluhuran hati Rasulullah SAW dapat dijadikan contoh melalui sifat-sifat pemurah, adil, benar, sabar, pemaaf, kasih sayang, zuhud dan tawaduk.

Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa memberi kerana Allah, menolak kerana Allah, mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah dan menikah kerana Allah, maka sempurnalah imannya." (Riwayat Abu Daud).

Istiqamah lisan menjaga tutur kata supaya sentiasa bercakap benar, jujur, tepat dan tidak berpura-pura. Sentiasa mengelakkan perkataan yang boleh menyakiti hati orang lain seperti memfitnah dan bercakap kotor (seperti mencarut) dan sebagainya.

Rasulullah SAW bersabda: " Tinggalkan apa yang meragui anda kepada apa yang tidak meragui anda." (Riwayat Al-Bukhari).

Keraguan termasuk kerja hati. Hati orang yang beriman dapat menimbang antara yang mulia dan yang hina dan antara yang jelas dan yang meragukan. Islam mengajak umatnya supaya sentiasa bersifat istiqamah. Allah SWT menerima sesuatu amalan yang diyakini dan menolak yang meragui.

Seterusnya, Istiqamah perbuatan dan amalan meliputi tekun bekerja melakukan apa sahaja yang baik yang diredai Allah SWT. Ini meliputi sikap dedikasi, rajin, tidak mudah putus asa, sentiasa menegakkan kebenaran dalam perbuatan seharian.

Nabi SAW bersabda: "Barang siapa memperbaiki hubungannya dengan Allah, maka Allah akan menyempurnakan hubungannya dengan manusia. Barang siapa memperbaiki apa yang dirahsiakannya maka Allah akan memperbaiki apa yang dilahirkannya (terang-terangan)." (Riwayat Al Hakim).

Dalam hubungan ini, Ulama Ahmad Athaillah mengatakan: " Ada kalanya Allah memberi kepadamu kekayaan (kesenangan) dunia, tetapi tidak memberi kepadamu taufik dan hidayah-nya. Ada kalanya Allah menolak (tidak memberi) kamu kesenangan dunia dan kemewahan-nya, tetapi memberi kepadamu taufik dan hidayah-Nya."

Berkaitan dengan istiqamah, Abi, Amrah Sufyan bin Abdullah r.a., berkata: "Aku bertanya maksudnya 'hai Rasulullah, ajarlah kepadaku berkenaan Islam perkataan yang tidak perlu aku bertanya seorang pun selainmu."
Sabda baginda: "Katakanlah iaitu aku beriman dengan Allah kemudian istiqamah." (Riwayat Muslim).

Daripada hadis ini jelas antara bentuk istiqamah ialah melaksanakan segala yang wajib dengan mengikut sunah Rasulullah.

Menambah ibadat yang sunat, menjauhi yang haram, melakukan tugas yang diamanahkan dengan berterusan dan konsisten.

Kita juga digesa supaya segala kebaikan atau amalan termasuk pekerjaan dan perkhidmatan yang dilakukan hendaklah dalam istiqamah dengan menghindarkan segala sifat mazmumah seperti malas, putus asa, semangat yang seketika dan mudah luntur kerana boleh menafikan maksud dan matlamat istiqamah.

Oleh itu, setiap umat Islam hendaklah berazam memperkuatkan sifat istiqamah dalam hati, menerusi lisan dan juga perbuatan.

Semoga dengan mendidik hati, lisan dan perbuatan dengan sifat istiqamah akan mencapai kejayaan di dunia dan juga akhirat dengan penuh keberkatan dan kejayaan.
Credit: DR AMINUDIN MANSOR Phd

No comments: